Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto SADIQ SANI, 4 OGOS 2024

KUALA LUMPUR- Dua wanita Palestin yang tular membuat kecoh dan merosakkan harta benda awam di Wisma Transit akan dihantar pulang ke Gaza dalam terdekat.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, perkara itu diputuskan selepas pertemuannya dengan Kementerian Pertahanan dan wakil Ops Ihsan bagi membincangkan insiden itu, hari ini.

“Ini adalah insiden terpencil dan tidak mewakili rakyat Palestin namun tindakan tersebut sangat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Bagi mereka yang berada di Malaysia, sekiranya mereka tidak berpuas hati, mereka boleh kembali ke tempat asal mereka.

“Kami menghantar pulang wanita tersebut supaya boleh menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/10/04/warga-palestin-mengamuk-di-wisma-transit-atm/

Katanya, kerajaan Palestin sangat menghargai bantuan yang dihulurkan kepada mereka oleh Malaysia dan rakyatnya.

“Rakyat Palestin yang cedera dan saudara mereka di sini harus menghargai apa yang kerajaan Malaysia lakukan untuk membantu mereka.

“Semasa mereka berada di sini, mereka mesti menghormati undang-undang tuan rumah.

“Mereka juga harus menghargai peluang yang diberikan kepada mereka, berbanding ribuan lain yang masih menderita di tanah air di Gaza.

“Mereka di sana tidak mempunyai bantuan seperti ini,” katanya lagi.

Walid turut mengecam kejadian itu malah memohon maaf bagi pihak masyarakat Palestin.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia memahami perjuangan emosi dan tekanan yang dialami oleh rakyat Palestin.

“Kami meminta rakyat Malaysia memahami bahawa mereka ini melalui kesukaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan tekanan dari segi emosi dan fizikal akibat tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

“Saya tidak akan membenarkan sesiapa menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Palestin. Kami akan sentiasa menghargai apa juga usaha yang dilakukan Malaysia untuk rakyat Palestin,” katanya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here