Muhammad Nazmi.

GEORGE TOWN – Minggu orientasi pelajar baharu di universiti di seluruh negara dilihat sebagai satu langkah penting dalam membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran dan kehidupan kampus.

Yang Dipertua Interim Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman berkata, orientasi pelajar bukan sahaja memberi pendedahan awal mengenai sistem universiti tetapi juga membantu pelajar mempersiapkan diri dari segi akademik, sosial dan emosi.

“Antara perkara utama yang ditekankan dalam minggu orientasi ini adalah pengetahuan asas mengenai perkhidmatan universiti seperti penggunaan perpustakaan, sistem IT dan peranan pusat tanggungjawab di universiti.

“Ini bertujuan untuk memastikan pelajar memahami sepenuhnya cara memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

“Selain itu, universiti juga mengadakan bengkel khusus bagi membantu pelajar mempersiapkan diri dari segi akademik. Bengkel ini merangkumi pengurusan masa, kaedah pembelajaran, serta penyediaan tugasan yang berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Nazmi, kesihatan mental juga menjadi fokus dalam minggu orientasi dengan sesi khas diadakan bagi memberi kesedaran mengenai pentingnya kesejahteraan mental dan emosi.

Katanya, pusat kesihatan dan unit psikologi universiti turut memperkenalkan perkhidmatan yang boleh membantu pelajar mengatasi tekanan semasa menyesuaikan diri di kampus.

“Aktiviti sosial seperti sesi ice-breaking dan lawatan kampus turut dijalankan untuk membantu pelajar membina hubungan dengan rakan-rakan baru.

“Universiti juga memastikan bahawa minggu orientasi ini inklusif dengan penyertaan pelajar orang kelainan upaya (OKU) dalam setiap aktiviti yang dijalankan sekali gus mengelakkan diskriminasi dan memastikan setiap pelajar merasa diterima dalam komuniti kampus.

“Secara keseluruhannya, minggu orientasi ini perlu dilihat sebagai satu inisiatif yang bermanfaat dalam memastikan pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti secara lebih berkesan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Video ‘prank’: Tidak perlu mansuh minggu orientasi di universiti

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan tiada keperluan untuk memansuhkan pelaksanaan minggu orientasi membabitkan mahasiswa baharu yang mendaftar masuk ke universiti awam (UA).

Ia susulan beliau menyifatkan minggu orientasi yang dilaksanakan di univesiti seluruh negara bertujuan memastikan mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.

Baru-baru ini tular video memaparkan situasi minggu orientasi di sebuah UA di Johor apabila beberapa individu bertengkar, sebelum ia bertukar menjadi satu kejutan atau digelar ‘prank’ bagi menyambut ulang tahun kelahiran seorang daripada fasilitator.

Susulan itu, ramai pihak berpandangan pengisian minggu orientasi terbabit seolah-olah berlebihan dan tidak seharusnya berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast