KAJANG – Sebanyak 8,701 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Ops Khas Kenderaan Perdagangan selama tiga hari yang bermula Selasa lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 32,178 kenderaan diperiksa sehingga kini pada operasi selama sebulan itu.

Katanya, dalam tempoh tiga hari, JPJ telah menjalankan pemeriksaan terhadap sebanyak 12,282 kenderaan barangan, 1,274 (perkhidmatan awam) dan lain-lain kenderaan (18,622).

“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 8,701 notis saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kesalahan paling banyak direkodkan berkaitan notis JPJ (P) 22 atau teknikal (6,430), arah periksa Seksyen 61 (1) (990) dan arah timbang (Seksyen 63 (3) bagi kenderaan melebihi muatan serta lain-lain.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 4,233 kenderaan yang telah diambil tindakan manakala 16 lagi disita,” katanya kepada media selepas selesai Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Bangi Lama, hari ini.

Daripada 8,701 notis saman, 4,952 saman melibatkan kenderaan perdagangan barangan serta 87 kenderaan perdagangan perkhidmatan awam sementara 3,662 lain-lain kenderaan.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, fokus utama operasi adalah untuk tindakan tegas terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Jelasnya, operasi ini juga bertujuan bagi mengesan kesalahan dilakukan kenderaan perdagangan terutamanya yang melebihi muatan susulan kes-kes kemalangan maut membabitkan lori.

Ops Khas Kenderaan Perdagangan ini tersebut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangasaan (AADK).

Dalam tempoh tiga hari itu, Aedy Fadly berkata, seramai 38 pemandu telah disaring dan tujuh daripada mereka didapati positif dadah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here