Gambar hiasan

KUANTAN – Akibat terpedaya dengan tawaran keuntungan lumayan – seorang pesara di Pekan dekat sini telah kerugian RM163,000.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa telah menerima panggilan telefon dari suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Selina’ dari ahli kumpulan L-Trader pada bulan Julai lalu.

“Setelah diyakinkan suspek menerusi perbualan telefon antara mereka, pengadu telah mendaftar pelaburan tersebut dengan mengisi maklumat peribadi dalam pautan yang telah diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

“Nombor telefonnya juga telah dimasukkan ke kumpulan aplikasi WhatsApp pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Yahaya, mangsa kemudian mendaftar di dalam aplikasi yang diberikan dan telah diberikan wang dompet sebanyak RM5,000 daripada syarikat pelaburan itu.

Selepas itu, katanya, mangsa diberitahu telah mendapatkan keuntungan pelaburan sebanyak RM213.05 yang telah dipindahkan ke akaunnya.

“Oleh kerana tertarik dengan pelaburan tersebut, mangsa kemudian membuat 15 kali pindahan wang dari akaun miliknya kepada satu akaun yang diberikan.

“Bagaimanapun, mangsa masih tidak dapat mengeluarkan keuntungan pelaburan seperti dijanjikan dan pihak pelaburan telah memberi pelbagai alasan,” katanya lagi.

Berikutan itu, Yahaya berkata, mangsa mengesyaki telah ditipu dan membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here