Seramai 10 hingga 12 penjenayah bersenjata parang yang pecah masuk dan melarikan barang patung sembahyang dan barang kemas bernilai lebih setengah juta ringgit dalam kejadian di Pandamaran Klang awal pagi Khamis sedang diburu polis.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu 12 penjenayah yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk dan menyamun serta melarikan barang bernilai RM600,000 dalam kejadian di Pandamaran, Klang Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira 6.16 pagi.

Menurut beliau, pengadu yang merupakan seorang lelaki tempatan melaporkan rumahnya yang terletak di Jalan Jagong, Pandamaran, Klang telah dipecah masuk oleh beberapa lelaki.

Susulan itu, sepasukan anggota peronda bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan tentang kejadian samun berkawan menggunakan parang di rumah mangsa.

“Hasil siasatan awal polis mendapati dalam insiden sekitar jam lebih kurang 5 pagi Khamis itu, seramai 10 hingga 12 orang suspek dipercayai warga tempatan telah sampai di hadapan rumah pengadu jenis banglo 3 tingkat menaiki dua buah kereta jenis Honda Civic berwarna putih dan Toyota Vios hitam serta parkir di hadapan rumah pengadu.

“Kesemua suspek yang memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang, memanjat tembok pagar hadapan rumah mangsa serta menarik pintu jeriji pintu utama sebelum masuk ke dalam rumah itu.

“Seterusnya suspek masuk ke dalam semua bilik dan telah mengikat tiga orang dewasa yang berada di dalam rumah semasa kejadian itu lalu menggeledah barangan dalam rumah,” katanya dalam kenyataan petang hari ini.

Tambah beliau semasa kejadian, salah seorang penghuni rumah berjaya menelefon pihak polis dan meminta bantuan segera.

Jelasnya lagi, apabila kereta peronda polis sampai ke lokasi kejadian samun, dua buah kereta suspek yang menunggu di hadapan rumah banglo itu terus meninggalkan tempat kejadian manakala kesemua suspek bersenjata parang itu didapati telah melarikan diri.

“Hasil semakan lanjut polis mendapati, suspek berjaya melarikan wang tunai, patung sembahyang dan barang kemas milik mangsa yang jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM600,000.

“Pemeriksaan lanjut polis juga mendapati seorang penghuni rumah iaitu lelaki berumur 37 tahun telah mengalami kecederaan akibat ditetak suspek di bahagian bahu kiri menggunakan parang dan telah menerima rawatan empat jahitan di sebuah hospital swasta di Klang,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut seksyen 395/397 Kanun Kesesksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan juga sebat jika disabitkan kesalahan.

Polis juga menyeru agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, untuk tampil segera ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu satu rakaman dipercayai kamera litar tertutup tular di media sosial mendapati rumah banglo itu dihadiri tiga kereta sebelum sekumpulan penyamun yang menutup wajah serta bersenjata parang memanjat tembok rumah berkenaan sebelum lari masuk premis itu untuk tujuan merompak.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here