Foto: FB Pemuda Amanah Nasional

KUALA LUMPUR – Permohonan Malaysia untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) merupakan antara strategi penting kepada negara untuk mengakses pasaran baharu dan menarik pelaburan asing.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Perdagangan Pemuda Amanah Nasional, Dr. Ng Ru Wei berkata, menjadi sebahagian daripada BRICS boleh memudahkan hubungan yang lebih kukuh dengan ekonomi yang sedang pesat membangun, memupuk kerjasama dalam perdagangan, teknologi dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, katanya, hubungan perdagangan dan diplomatik yang pelbagai boleh membantu Malaysia memperoleh syarat yang lebih baik dalam rundingan.

“Ia juga mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global, akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan jangka panjangnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang diberi keutamaan untuk menyertai BRICS.

Menurut Anwar, sewaktu perbincangan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika lawatan kerja rasmi beliau ke negara itu awal bulan lalu, perkara yang diberi perhatian adalah sama ada Malaysia menjadi ahli BRICS dengan segera atau bermula sebagai rakan negara blok tersebut.

Sementara itu, Ru Wei menambah, mempelbagaikan rakan perdagangan menerusi penyertaan dalam BRICS itu penting bagi Malaysia untuk mengurangkan pergantungan kepada bilangan pasaran yang terhad.

Jelasnya, Malaysia telah banyak melabur dana dan sumber untuk terus mempelbagaikan rakan dagangan supaya mengurangkan pergantungan dan impak atau kejutan yang timbul akibat ketegangan politik, kemelesetan ekonomi atau pertikaian perdagangan di negara atau pasaran yang tertentu.

Ia tambah beliau, berjaya meningkatkan daya tahan terhadap turun naik pasaran global, membuka peluang pertumbuhan baharu dan memupuk inovasi melalui pendedahan kepada pasaran yang berbeza.

“Malaysia harus memaksimumkan lagi potensi kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan rakan perdagangan utama, termasuk dengan menggunakan sepenuhnya platform perdagangan dua hala dan pelbagai hala seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here