Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hadir pada program SKOP MG di Ibu Pejabat MalaysiaGazette, Cheras. Foto SADIQ SANI, 17 JULAI 2024

BANGI – Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota bukan gambaran rakyat menolak gabungan politik itu.

Malah, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kekalahan itu juga tidak akan menyebabkan berlakunya keretakan dalam hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tegas beliau, hubungan Pas dengan Bersatu di dalam PN ketika ini adalah baik, namun menyifatkan gabungan parti lain (BN-PH) yang sedang bercakaran.

“Orang (gabungan) lain bermasalah, yang ada penyakit kencing manis orang lain, yang ada darah tinggi orang lain, bukan parti dalam PN bermasalah.

“Hubungan kita, Pas dan Bersatu baik-baik sahaja, tak ada isu, jadi kekalahan dua PRK itu tak boleh jadi ukuran kononnya akan ada keretakan hubungan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Munaqasyah ucapan dasar Presiden Pas ke-70 peringkat negeri Selangor di Pusat Konvensyen Bangi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyifatkan kekalahan dalam pilihan raya adalah perkara biasa dan tidak mustahil kekalahan PN pada dua PRK itu akan disusuli dengan kejayaan besar memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kalah PRK biasa, (pada) PRN Melaka, Johor pun kita kalah, (tetapi) bila datang PRU, kita menang.

“Setakat kalah PRK, mungkin selepas ini kita menang Malaysia, mana tahu,” katanya.

Sebelum ini, wujud dakwaan daripada beberapa pihak yang mana kekalahan PN pada PRK DUN Nenggiri yang kemudiannya diikuti di DUN Mahkota berisiko menggugat hubungan Bersatu dan Pas.

Malah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi sebelum ini turut mendakwa, PN mula berasa takut Bersatu dan Pas yang merupakan dua parti dominan dalam gabungan itu akan berpecah sekiranya kalah teruk pada PRK DUN Mahkota. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here