Steven Sim bersama panelis ASF 2024 bagi sesi ASEAN Youth and Civil Society baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia bertuah menjadi tuan rumah kepada pemain-pemain teknologi global Forum Kemahiran ASEAN (ASF) 2024 dengan Kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di sini baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, ASF menggabungkan para pemain industry seperti Nvidia, Micron, Infineon, Geely, Rongsheng, Microsoft, Google, Bytedance, AWS dan banyak lagi dengan pelaburan melebihi RM30 bilion.

“Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN kita untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan aliran bakat yang berkemahiran tinggi, dinamik dan pelbagai,” katanya semasa berucap pada perasmian ASF 2024 di sini baru-baru ini.

Steven Sim berucap semasa merasmikan ASEAN Skills Forum 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Cawangan Kemahiran dan Kebolehpasaran Kerja Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Srinivas B Reddy; Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood.

Menurut Steven, sejak pertengahan abad ke-20, Malaysia telah menerima pelaburan daripada industri-industri berteknologi tinggi terkemuka dari seluruh dunia bermula dengan ‘Lapan Samurai di Pulau Pinang.

“Lapan samurai’ yang dimaksudkannya ialah Intel Corporation, Hewlett-Packard (kini Keysight Technologies dan Agilent Technologies), Robert Bosch, AMD, Litronix (kini ams OSRAM), Hitachi (kini Renesas), Clarion dan National Semiconductor.

Semasa forum tersebut, Steven Sim turut mengumumkan penambahbaikan penting kepada Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM) yang bertujuan untuk menetapkan asas bagi usaha pembangunan kemahiran Malaysia sendiri.

ACM ialah panduan untuk majikan berdaftar HRD Corp dan penyedia Latihan mengenai kos yang boleh dituntut, tuntutan maksimum dan kelayakan tuntutan bagi pelbagai jenis program latihan melalui levi pembangunan sumber manusia.

Antara penambahbaikan yang disertakan adalah membenarkan yuran kursus dituntut berdasarkan kadar setiap jam berbanding kadar sebelumnya yang berasaskan setengah hari atau sehari penuh.

“Ini akan membolehkan majikan memanfaatkan program latihan yang berdurasi pendek, seperti kursus pembangunan profesional dan kursus mikro-kelayakan fleksibel,” kata Steven.

Selain itu, HRD Corp juga akan menaikkan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari berbanding had sebelumnya sebanyak RM6,000 sehari.

“Ini akan membolehkan majikan menyediakan program latihan yang lebih berkualiti tinggi dan bernilai tinggi untuk pekerja mereka selaras dengan permintaan industri,” jelasnya.

Sementara itu, Srinivas ketika menyampaikan ucapannya teruja dengan visi Tahun Kemahiran ASEAN 2025 (AYOS 2025) serta kemungkinan yang akan dibawa oleh inisiatif tersebut.

Srinivas semasa berucap pada ASEAN Skills Forum 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berharap agar para pekerja terutamanya mereka yang terdedah kepada kesukaran akan terus dibantu supaya setiap individu mempunyai peluang untuk berkembang maju.

“ASEAN sentiasa menjadi inspirasi bagi ILO. Saya percaya kita boleh belajar daripada rantau ini dan juga berkongsi pengetahuan terbaik kami dengan anda,” katanya.

“Sama ada anda seorang pembuat dasar, pendidik, pemimpin perniagaa, atau pejuang hak pekerja, sumbangan anda sangat penting dalam membentuk masa depan pekerjaan yang lebih cerah di ASEAN,” ujarnya.

Buat julung kalinya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) buat telah menganjurkan ASF dengan Kerjasama ILO di sini baru-baru ini.

ASF telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh ASEAN, termasuk wakil-wakil daripada kerajaan, persekutuan majikan, kesatuan pekerja dan rakan kongsi antarabangsa untuk memudahkan perbincangan penting mengenai cabaran kritikal dan peluang dalam pembangunan modal insan di rantau ini.

Lebih 200 delegasi dari 16 negara hadir termasuk wakil-wakil dari Filipina, Thailand, Kemboja, Brunei, Indonesia, Vietnam, Singapura, India, dan Austria.

Forum itu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai penyelarasan strategi pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini.

Perbincangan berkenaan dilihat penting ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan mencadangkan AYOS2025 yang dijangka bermula pada Januari tahun depan.

AYOS 2025 yang akan diterajui oleh KESUMA melalui HRD Corp bertujuan untuk memacu pelbagai program dan aktiviti pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini sepanjang tahun tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here