Kor Ming menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Rumah Ideal Residency di bawah PR1MA di Bukit Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin dapat mencapai nilai jualan sektor hartanah sehingga RM200 bilion pada tahun ini.

Ia merupakan satu kali ganda sasaran asal berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, untuk separuh pertama tahun ini, sektor hartanah merekodkan jualan berjumlah RM100.5 bilion mengikut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) di bawah Kementerian Kewangan, melebihi sasaran tahunan RM100 bilion.

“Pencapaian ini bukan sahaja akan merancakkan ekonomi negara tetapi juga memberi kesan positif kepada lebih 200 industri berkaitan termasuk pembinaan, perbankan dan perabot.

“Apabila sektor hartanah berkembang dengan baik, khususnya rumah-rumah mampu milik, kita akan dapat mewujudkan lebih banyak lagi ruang dan juga peluang pekerjaan untuk semua yang terlibat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Kor Ming menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Rumah Ideal Residency di bawah PR1MA di Bukit Gelugor, di sini.

Projek perumahan Ideal Residency itu merupakan projek terbesar PR1MA di negeri ini merangkumi pembangunan 1,218 unit kediaman yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, taman permainan serta dewan serba guna.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, KPKT sedang membangunkan perisian analitik data besar untuk memastikan pemaju perumahan membina rumah mengikut keperluan sekali gus tidak timbul isu hartanah tidak terjual.

“Kita percaya dengan adanya analitik data besar itu boleh  membantu pemaju perumahan melakukan analisis yang lebih tepat dalam menentukan kawasan, jenis rumah, dan kos yang sesuai.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan pembinaan hartanah yang tidak terjual atau projek gajah putih,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here