Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim

KUANTAN – Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang memutuskan bahawa fahaman yang didukung Global Ikhwan Services and Holding Sdn. Bhd. (GISBH) adalah menyeleweng dan sesat.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, Jabatan Mufti Pahang memfatwakan perkara itu kepada pengikut yang meneruskan fahaman Aurad Muhammadiah yang dibawa gerakan al-Arqam.

Al-Arqam diwartakan sesat dan menyeleweng pada tahun 1994.

Fatwa tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 2 Oktober lalu.

Menurut Asmadi, pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al- Mustafa Billah Shah untuk sebaran umum mengenai perkara tersebut.

”Pengikut-pengikut dari Global Ikhwan Service and Business Holdings, sama ada pekerja yang beragama Islam, atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat apabila
mempercayai bahawa Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia pada tahun 2010 tidak mati, sebaliknya ghaib.

”Keputusan ini meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran tersebut di atas dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau mana-mana kumpulan yang telah wujud atau akan diwujudkan.

”Sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semua pihak berkuasa seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan lain-lain perlu berkerjasama bagi merangka dan melaksanakan pemulihan serta pemantauan pengikut-pengikut GISBH.

Semalam Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar

Terdahulu Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa fahaman yang didukung GISBH mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya daripada segi batiniah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here