Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) sudah membuat keputusan iaitu ‘pandangan hukum’ terhadap fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pada 23 dan 24 September lalu.

“Keputusan pandangan hukum yang telah diperolehi berdasarkan kertas cadangan yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin berkaitan GISBH ini telah diputuskan di peringkat jawatankuasa muzakarah MKI.

“Saya tidak boleh umumkan di sini, nanti kita akan bawa ke Majlis Raja-raja pada 23 dan 24 Oktober ini, jadi Majlis Raja-raja yang akan beri perkenan kepada pandangan hukum tersebut.

“Setelah Majlis Raja-raja berikan perkenan kepada pandangan hukum terbabit dan negeri-negeri akan bawa pandangan hukum tersebut kepada jawatankuasa fatwa negeri yang dipengerusikan oleh mufti negeri tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam peringkat kebangsaan 2024, di sini, hari ini.

Mohd Na’im mengulas pertanyaan media mengenai tiga buah negeri yang mengeluarkan fatwa bahawa fahaman yang dibawa oleh GISBH adalah sesat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Majlis Fatwa Negeri-negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa sama ada fahaman GISBH adalah sesat.

Ini kerana Jawatankuasa Fatwa MKI tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa dan hanya boleh mengeluarkan pandangan hukum mengenai sesuatu fahaman untuk dipersembahjan kepada Majlis Raja-raja.

“Fatwa (fahaman GISBH sesat) hanyalah boleh dikeluarkan di peringkat negeri oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri yang diperkenan oleh Sultan negeri tersebut.

“Kita telah ada pandangan hukum yang berkaitan GISBH cuma pandangan hukum belum lagi diberikan perkenan oleh Duli Sultan dalam Majlis Raja-raja.

“Tapi apa yang berlaku di Selangor, Pahang dan Perlis (haramkan fahaman GISBH) adalah kuasa negeri untuk memulakan persidangan atau fatwa tersebut.

“Rakyat kena tunggu keputusan Majlis Raja-raja mengenai pandangan hukum dari Jawatankuasa Muzakarah MKI. Itu kuasa negeri untuk keluarkan fatwa haram mengenai fahaman GISBH,” katanya.

Terbaharu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri itu bahawa pengikut GISBH sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here