Aznan Tamin

JOHOR BAHRU – Pertukaran guru-guru dari 12 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Pasir Gudang yang sepatutnya mengajar di sekolah lain bermula esok ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, satu pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

“Perjumpaan akan diadakan dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Terbrau, Jimmy Puah Wee Tse.

“Ini juga akan melibatkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan terbabit serta pihak Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), Yang Dipertua Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan semua guru besar SJKC yang terlibat.

“Proses penerangan akan diberikan dalam perjumpaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Hassan memohon pertukaran tersebut ditangguhkan selepas guru-guru serta wakil PIBG dan LPS termasuk ibu bapa datang bertemu dengannya memohon pertukaran itu ditangguhkan.

Menurutnya, mereka tidak membantah proses pertukaran tersebut tetapi mereka berpendapat adalah baik sekiranya dilakukan pada awal atau akhir tahun.

“Mereka bimbang jika proses pertukaran guru berlaku sekarang secara mengejut dan tidak secara berfasa akan menjejaskan murid-murid terutama Darjah 6 yang akan menduduki peperiksaan,” ujar Hassan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast