Antara peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi, semalam.

KOTA TINGGI – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung acara larian yang disertai pelancong luar negara yang berpakaian tidak senonoh dan seolah-olah mempromosi lesbian, gay, biseksual transgender (LGBT) di sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, siasatan awal dijalankan mendapati hanya segelintir peserta larian antarabangsa di Kota Tinggi itu berpakaian tidak senonoh dan lucah.

Jelas beliau, pihaknya juga sedang mengenal pasti individu lain yang terbabit termasuk memanggil pihak penganjur bagi membantu siasatan.

Ini kerana, katanya, penganjuran program larian berkenaan menyentuh sensitiviti kaum dengan kelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.

“Pada pukul 5 petang tadi, pihak polis mendapati suatu maklumat tular dalam Facebook (FB)  Khas Penduduk Kota Tinggi dengan kapsyen ‘apa nak jadi dengan Bandar Penawar ini’.

“Ia dikongsi oleh pemilik atau pengendali FB Mohd Latif bin Talib memaparkan beberapa gambar dan sebuah klip video sekumpulan individu berpakaian berwarna merah serta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata, siasatan awal polis mendapati gambar-gambar terbabit dipercayai dirakam sempena program larian antarabangsa Pan Asia 2024 yang diadakan di kawasan Hotel Lotus Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Beliau berkata, program anjuran persatuan The Hash House Harriers itu bermula 4 hingga 6 Oktober membabitkan beberapa kawasan di Kota Tinggi, Kulai dan Seri Alam di sini.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan mengikut peruntukan kesalahan-kesalahan berikut.

“Ini termasuk Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan lucah di tempat awam, jika disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai tiga bulan atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan yang menghina atau lucah dengan niat membangkitkan keadaan tidak aman,” katanya.

Tambahnya, jika disabitkan boleh didenda RM100 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada kompromi kepada penganjur gugat keharmonian, kesucian agama – MB

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here