Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak menganjurkan acara yang mencetuskan isu boleh menggugat keharmonian dan kesucian agama Islam serta menjatuhkan imej negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan memandang serius termasuk isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam satu program larian di Kota Tinggi.

“Kerajaan Negeri Johor ingin menegaskan bahawa acara tersebut bukanlah anjuran kerajaan negeri mahupun mana-mana agensi kerajaan di negeri Johor.

“Kerajaan negeri juga tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu tular foto dan video berkenaan yang berdurasi tujuh saat dalam satu Facebook komuniti berkenaan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru.

Dalam foto dan video tersebut memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian mencolok mata.

Menerusi foto tersebut, turut terdapat peserta yang mengenakan pakaian seperti penyokong LGBT.

Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan The Hash House Harriers.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, pihaknya sudah berhubung dengan berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur larian tersebut.

Jelasnya, difahamkan objektif penganjuran acara tersebut tidak seperti yang berlaku dan kejadian tersebut adalah di luar kawalan pihak penganjur.

Kerajaan negeri berharap katanya, agar isu itu tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan dan mengancam keharmonian negeri serta kesucian agama Islam.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bertindak tegas terhadap penganjur larian separuh bogel, LGBT – Fauziah

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here