Gambar hiasan

JASIN – Gara-gara terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang diiklan di laman sosial Facebook, seorang warga emas kerugian sebanyak RM108,000.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa seorang lelaki berusia 73 tahun telah memindahkan jumlah wang tersebut ke dalam empat akaun berbeza yang diarahkan sindiket penipuan itu sejak Ogos lepas.

“Pesara swasta berkenaan melihat iklan berkaitan pelaburan berkenaan di Facebook sebelum menekan pautan tersebut dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp untuk berhubung dengan suspek sindiket itu yang menerangkan pakej pelaburan ditawarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sebelum menyertai pelaburan itu, mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi Ats-Pro dan diberikan kredit wang berjumlah RM6,000 ke dalam aplikasi itu untuk membeli satu unit saham,” katanya.

“Selepas membeli saham berkenaan, mangsa menerima pulangan keuntungan kali pertama sebanyak RM3,000 dan berhasrat menambah jumlah pelaburan bagi mendapatkan keuntungan lebih besar.

Katanya, menerusi pelaburan yang dibuat di aplikasi itu, mangsa memperoleh keuntungan sebanyak RM373,287.67 dalam tempoh dua bulan sebelum ingin mengeluarkan keuntungan tersebut.

Ahmad Jamil berkata, mangsa menyedari dirinya tertipu apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM60,000 sebagai cukai pengeluaran wang tersebut.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jasin semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast