Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

BINTULU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap kerajaan negeri tampil lebih serius dalam penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) bersama-sama kementerian berkenaan pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kebanyakan negeri sedar dengan pulangan hasil penganjuran perlumbaan yang menjurus kepada tarikan pelancong dan ekonomi setempat, namun tidak sanggup menanggung kos penganjuran untuk menjadi penaja.

“Kebanyakan berminat membawa perlumbaan ke negeri mereka tetapi tidak sanggup mengeluarkan dana. Itu adalah cabaran yang kita hadapi (KBS). Semuanya tentang kos, malah tahun lepas saya terpaksa menjelaskan di Parlimen kenapa perlumbaan ini tidak dianjurkan di Langkawi (edisi 2023).

“Kami (KBS) sentiasa mencuba yang terbaik untuk melibatkan tempat-tempat yang kami rasa menarik bagi kedua-dua aspek iaitu pelancongan dan berbasikal (perlumbaan),” katanya dalam sidang media sempena saingan peringkat terakhir LTdL di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan, dana tajaan bagi LTdL adalah berjumlah RM8.1 juta antaranya daripada syarikat swasta seperti Petronas dan Tourism Malaysia manakala KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) membelanjakan hampir RM12 juta untuk memastikan perlumbaan selama lapan hari itu berjalan lancar.

“Kami berharap semua ketua negeri memberi lebih perhatian kepada tabung pembangunan sukan. Mereka perlu menyediakan peruntukan, bukan hanya melihat ini sebagai pelaburan tetapi juga membawa masuk pelancong ke negeri mereka.

“Terdapat banyak platform untuk negeri mempromosikan diri tetapi jika mereka tidak menyediakan dana (ia tidak akan berlaku). Pada masa ini, semua ketua negeri harus tahu bahawa LTdL adalah acara tahunan,” katanya.

Terdahulu, Hannah hadir menyaksikan pelepasan pelumba bagi saingan peringkat terakhir LTdL 2024 melibatkan laluan mengelilingi bahagian Bintulu sejauh 147.5 kilometer. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here