Hassan selepas Sesi Libat Urus Program Pelaksanaan Penempatan Semula Guru Di Daerah Pasir Gudang di Pejabat Pendidikan Pasir Gundang, Masai, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Pertukaran ratusan guru dari lebih 70 sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan (SK) di daerah ini yang sepatutnya dilakukan bulan ini ditangguhkan sehingga Februari tahun depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberitahu, keputusan itu adalah hasil Sesi Libat Urus Program Pelaksanaan Penempatan Semula Guru Di Daerah Pasir Gudang yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor di Pejabat Pendidikan Pasir Gundang, Masai di sini hari ini.

“Kita telah mencapai satu penyelesaian yang telah dipersetujui oleh semua pihak dalam mesyuarat sesi libat yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Mohd Hanafi Samad.

“Adalah dipersetujui bahawa pertukaran guru hanya akan bermula selepas penilaian Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus tersebut yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung, ADUN Tiram, Azizul Bachok dan semua Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru besar sekolah terbabit.

Khamis lalu, Hassan memohon pertukaran 130 guru dari 12 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di sini ditangguhkan selepas guru-guru serta wakil PIBG dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) termasuk ibu bapa datang bertemu dengannya memohon pertukaran itu ditangguhkan.

Menurutnya, mereka tidak membantah proses pertukaran tersebut tetapi mereka berpendapat adalah baik sekiranya dilakukan pada awal atau akhir tahun.

“Mereka bimbang jika proses pertukaran guru berlaku sekarang secara mengejut dan tidak secara berfasa akan menjejaskan murid-murid terutama Darjah 6 yang akan menduduki peperiksaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pertukaran tersebut sebenarnya bukan sahaja melibatkan SJKC tetapi juga empat sekolah jenis Kebangsan Tamil (SJKT) dan 55 sekolah rendah di sini.

“Punca pertukaran guru ini adalah atas urusan pentadbiran. Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang telah memberi taklimat kepada kami semasa mesyuarat mengenai keputusan ini dan kami memahaminya.

“Pertemuan ini berjalan dengan baik, semua pihak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka secara harmoni dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang mengadakan mesyuarat ini bagi mencari penyelesaian isu ini,” tambahnya.

Beliau juga mencadangkan kepada jabatan tersebut agar sentiasa mengadakan sesi pertemuan seperti itu melibatkan pihak berkepentingan seperti ibu bapa, PIBG, LPS bagi mengelak isu sama berulang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast