Seramai 21 suspek warga Bangladesh termasuk tiga suspek yang disayki dalang sindiket membawa masuk warga asing dengan menyamar sebagai atlet sukan berjaya ditumpaskan JIM dalam operasi khas di Taman Maluri 3 Oktober lalu.- Ihsan JIM Putrajaya.

PUTRAJAYA – Satu sindiket membawa masuk warga asing menggunakan taktik penyamaran sebagai atlet sukan ke negara ini akhirnya terbongkar.

Tiga orang lelaki warga Bangladesh yang dikesan mendalangi sindiket berkenaan dicekup Jabatan Imigresen Malaysia menerusi satu operasi khas yang dilaksanakan pada 3 Oktober lalu di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan bermula pyukul 10.38 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat bertindak atas maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Hasilnya, pasukan serbuan berjaya menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sebagai dalang sindiket tersebut sebelum dua daripadanya memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa.

Dua suspek warga Bangladesh yang mendalangi sindiket membawa masuk warga Bangladesh menyamar sebagai atlet sukan ke dalam Malaysia ditumpaskan dalam operasi khas JIM di Taman Maluri, Cheras pada 3 Oktober lalu.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi sama turut membawa pasukan operasi kepada tangkapan seramai 18 orang lelaki warganegara Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zakaria, kesemua warga asing yang ditahan itu berusia lingkungan antara 21 hingga 33 tahun sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan  seramai 21 orang.

Pasukan operasi telah merampas sebanyak 18 pasport Bangladesh, wang tunai RM990 dan surat jemputan untuk menyertai pertandingan sukan beserta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu.

“Semakan lanjut mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi dengan membawa masuk warganegara asing terutamanya warga Bangladesh dengan menyamar sebagai atlet sukan dengan cara tampil berpakaian sukan, menempah tiket untuk pulang semula ke Bangladesh dan menempah bilik di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Antara suspek warga Bangladesh yang dalangi sindiket bawa masuk warga asing menyamar sebagai atlet sukan ke dalam negara ditumpaskan JIM pada 3 OKtober 2024 di ibu negara.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket ini mengenakan kadar bayaran sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 untuk setiap orang dan dipercayai telah beroperasi secara akif selama empat bulan,” ujarnya.

Kesemua warga Bangladesh asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk disiasat lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4), Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Per.39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, katanya, seramai dua lelaki warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Menurutnya, jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast