JOHOR BAHRU – Jumlah kenderaan pendaftaran Singapura yang masuk negara ini melalui Tambak Johor dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) kembali normal selepas penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) dilakukan secara berfasa bermula 1 Oktober lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, hanya dua hari pertama pelaksanaan VEP itu menyaksikan penurunan jumlah kenderaan dari republik itu memasuki negara ini.
“Bagaimanapun setelah mereka diberikan jaminan bahawa tindakan saman masih belum dilaksanakan, keadaan hampir kembali normal pada hari ketiga dan seterusnya.
“Laporan harian yang diperolehi mendapati jumlah kenderaan Singapura yang masuk ke negara ini melalui laluan darat di Tambak Johor dan Linkedua kembali normal sebaik jaminan diberikan tiada tindakan saman dikenakan setakat ini.
“Tindakan penguatkuasaan akan dilakukan secara berfasa dengan notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan yang belum mendaftar. Kita berikan mereka masa lagi untuk mereka memohon sebelum tindakan diambil,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di Eko Flora di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusinya, Teo Nie Ching.
Terdahulu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 112,658 tag identifikasi frekuensi radio (RFID) VEP kepada kenderaan persendirian dan komersil bernombor pendaftaran Singapura setakat 30 September lalu.
Daripada jumlah itu, 75,412 tag RFID sudah diaktifkan digunakan sejak pelaksanaan VEP di laluan darat Malaysia-Singapura manakala 37,246 tag lagi masih belum diaktifkan.
Sebelum ini, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Johor mendakwa menerima laporan jumlah pengunjung ke hotel mereka berkurangan khususnya di sekitar Johor Bahru.
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, setakat ini pihak kementerian tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh.
Katanya, kementerian turut menyeru kepada pemilik kenderaan Singapura untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia.
“Kita menggesa vendor terlibat untuk memperbanyakkan lokasi pendaftaran bagi memudahkan lagi permohonanan dan mengelakkan kesesakan.
“Kita tak boleh sediakan lokasi pendaftaran di Singapura, ini kerana pendaftaran ini bidang kuasa kita, melainkan ada kerjasama dengan syarikat di sana, itu biar vendor yang fikirkan,” ujarnya.- MalaysiaGazette