246 calon pelatih asas penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melapor diri di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) melibatkan jumlah paling ramai dalam sejarah Maritim Malaysia

KUANTAN – Seramai 246 calon pelatih asas penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini melapor diri di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini.

Pemangku Pengarah AMSAS, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pengambilan pada kali ini melibatkan jumlah paling ramai dalam sejarah Maritim Malaysia dan ia dijalankan serentak bagi lantikan kemasukan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Penguat Kuasa Lain-Lain Pangkat (LLP) Maritim.

”Daripada 246 orang, seramai 70 orang adalah calon pelatih asas Leftenan Muda Maritim Gred T13 manakala 176 orang merupakan calon pelatih asas Laskar Kelas II Maritim Gred T1 dan kesemuanya merupakan calon lelaki.

“Semua calon yang melaporkan diri akan menjalani latihan selama 10 bulan berbanding siri-siri lantikan sebelum ini yang hanya menjalani latihan selama sembilan bulan.

“Dengan bertambahnya tempoh latihan asas, pelatih akan menjadi lebih bersedia dari segi ilmu teori dan praktikal sebelum dihantar ke kapal-kapal bagi menjalani latihan sambil kerja atau on-job training selama tiga bulan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, salah seorang calon pelatih asas berkenaan, Haikal Iqbal Zainudin,28, menyifatkan tawaran yang diterima merupakan rezeki selepas beliau dan pasangan, Nur Sufiah  Ahamad Sasman,26, dikurniakan cahaya mata kedua baru-baru ini.

Haiqal Iqbal mempunyai kelulusan dalam jurusan Bachelor Science Shipping And Port Management dari Solent Southampton University, United Kingdom, merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini.

Beliau memilih menyertai Maritim Malaysia kerana minat dalam bidang penguatkuasaan serta ingin bertugas di samudera menjaga keselamatan perairan negara.

Dalam pada itu, Haris Fadzillah berkata, pengambilan serentak pelatih asas pegawai dan LLP ini bakal menyumbang kepada peningkatan jumlah perjawatan yang telah diluluskan kerajaan iaitu sebanyak 5,403 jumlah perjawatan.

Tambahnya, Maritim Malaysia mengharapkan perjawatan tersebut dapat diisi sepenuhnya menjelang tahun 2026.

Terdahulu kesemua calon yang melapor diberikan penerangan mengenai dokumentasi akhir serta menjalani ujian saringan awal air kencing.

Ia merupakan salah satu prosedur yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap calon bebas daripada penggunaan bahan terlarang sebelum mengangkat sumpah sebagai pelatih asas Maritim. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here