Pemandu lori berusia 52 tahun ditahan untuk siasatan.

KOTA BHARU – Sebanyak 40,000 pokok orkid bernilai RM2.1 juta yang dipercayai diseludup dari Thailand berjaya dirampas sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam Op Taring Wawasan Kelantan, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kegiatan penyeludupan tersebut berjaya dipatahkan ketika sekatan jalan raya dilakukan di Chabang Empat Salam, Rantau Panjang, dekat sini pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Semasa kejadian, anggota PGA7 yang sedang membuat kawalan mendapati sebuah lori mencurigakan dipandu oleh seorang lelaki berusia 52 tahun. Lori tersebut kemudian diarahkan berhenti untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori terbabit menemui lebih 40,000 pokok orkid yang dipercayai diseludup dari Thailand  tanpa dokumen yang sah, untuk pasaran tempatan di Kelantan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan suspek bersama kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast