Geng pecah rumah didalangi warga China di Sabak Bernam ditumpaskan dengan tertangkap 7 suspek termasuk seorang warga tempatan.

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan satu geng pecah rumah yang tidak berpenghuni sekitar daerah Sabak Bernam didalangi oleh warga China.

Tujuh suspek, terdiri daripada enam lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan ditangkap kerana disyaki melakukan lapan kes pecah rumah di daerah tersebut sejak Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis telah menubuhkan pasukan khas untuk mengenal pasti kumpulan itu sejurus menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

“Kita dapati kumpulan penjenayah ini mensasarkan rumah jenis dua tingkat dan tidak berpenghuni di daerah Sabak Bernam. Mereka memecah masuk dan melarikan barang berharga yang disimpan di peti besi dalam rumah.

“Berdasarkan maklumat risikan itu, pada 5 dan 6 Oktober lalu pasukan polis berjaya melakukan beberapa siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Subang Jaya sebelum menahan tujuh penjenayah tersebut,” katanya dalam siding media khas di ibu pejabat Kontinjen di sini petang Isnin.

Tambah beliau, tangkapan geng tersebut berjaya membawa kepada rampasan sebilangan barang curi pecah rumah serta peralatan yang digunakan untuk jenayah tersebut.

Polis turut merampas dua buah kereta jenis Perodua Bezza dan Alza yang disewa kumpulan itu untuk melakukan jenayah ini.

“Siasatan lanjut mendedahkan kumpulan pecah rumah didalangi warga China ini menginap di hotel berstatus sederhana di Jalan U-Thant sebelum ditahan polis manakala suspek tempatan diberkas di Subang Jaya.

“Dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah berusia 30 hingga 40-an di Sabak Bernam, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes pecah rumah di Pahang serta Perak.

“Pemeriksaan ke atas mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan disyaki tinggal di negara ini sejak awal 2024 dan sedang disemak dengan imigresen untuk mendapatkan rekod keluar masuk mereka di negara ini,” ujar beliau.

Mereka ini juga dikesan sentiasa berpindah-randah dari satu hotel ke hotel lain bagi mengelak dikesan polis.

Ditanya mengenai peranan suspek tempatan, Hussein berkata,  lelaki itu bertindak mengesan rumah yang disasarkan serta melupuskan barangan curi.

Kesemua suspek direman seminggu untuk membantu siasatan di Bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.

“Kita masih mencari beberapa lagi suspek kumpulan pecah rumah ini yang disyaki bebas di luar sana,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here