Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang guru wanita di Temerloh kerugian sebanyak RM160,750 akibat diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis dan pegawai perkhidmatan pelanggan Shopee.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 34 tahun telah melakukan 11 kali transaksi ke dalam beberapa akaun bank yang berbeza.

“Mangsa telah menerima panggilan daripada perkhidmatan pelanggan Shoppe mengatakan bahawa pengadu telah menjalankan perniagaan di Shopee pada September 2024.

“Bagi menafikan menjalankan perniagaan pengadu diminta membuat laporan penafian melalui sistem e-reporting Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian pengadu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan dimaklumkan akan mendapat satu panggilan video daripada pihak polis.

“Pengadu telah menerima panggilan video yang meminta pengadu memegang kad pengenalan untuk mengesahkan identiti dan telah disambungkan kepada pegawai polis Bukit Aman,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Yahaya, mangsa dimaklumkan bahawa akaun bank milik guru tersebut terlibat dengan pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

Tambah beliau, bagi membuktikan pengadu tidak bersalah beliau perlu melapor diri kepada Inspektor Hanan setiap dua jam.

Yahya berkata, mangsa telah dihubungkan dengan pihak polis bagi menyelesaikan hal tersebut dan selepas itu beliau telah pergi ke sebuah bank di Temerloh untuk membuat pinjaman peribadi serta permohonan kad ATM bank terbabit.

“Setelah pengadu menerima kad bank, pengadu telah memberikan maklumat perbankan atas talian seperti kata pengguna, kata laluan, nombor pin kad dan soalan sekuriti kepada polis berkenaan serta diarahkan melakukan transaksi selepas pinjaman diluluskan.

“Pengadu juga rugi atas semua hasil simpanan lebih RM60,000 dan pinjaman peribadi bernilai RM100,000. Apabila pengadu sedar dirinya ditipu beliau tampil membuat laporan polis,” tambah Yahaya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here