Gambar hiasan

KULAI – Seorang jurutera kerugian RM102,408 ditipu selepas melabur dalam satu skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan sehingga 10 peratus.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 25 tahun membuat aduan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kelmarin.

“Semuanya bermula apabila mangsa berminat membuat pelaburan yang menjamin keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh yang terdekat.

“Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi L-Trader milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan membuat 17 kali transaksi pembayaran berjumlah RM102,408 ke dalam enam akaun bank tempatan.

Jelas beliau, mangsa membuat transaksi itu dari 31 Julai sehingga 28 September lalu.

“Mangsa membuat semakan dalam akaun L-Trader miliknya dan mendapati keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak RM1,620,374,” ujarnaya.

Namun katanya, apabila mangsa mahu membuat pengeluaran dalam akaun L-Trader miliknya didapati akaun tersebut sudah disekat.

Mangsa yang mengesyaki ditipu datang ke IPD Kulai untuk membuat laporan, katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penipuan pelaburan tidak wujud.

Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat.

Orang ramai juga ujarnya, dinasihatkan menggunakan khidmat atas talian yang disediakan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule dan melalui Facebook polis.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here