Mohd Edisahril Mohd Noor mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhn menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Johor BAhru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhn menerima rasuah berjumlah RM55,150 pada November tahun lalu hingga Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Edisahril Mohd Noor, 41, membuat pengakuan tersebut  selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, dia didakwa secara rasuah menerima suapan antara RM3,000 hingga RM10,000 daripada seorang lelaki kepada akaun syarikat milik isteri tertuduh.

Semua suapan berjumlah RM55,150 itu adalah sebagai upah kepada tertuduh bagi memudahkan kemasukan penumpang warganegara Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan Akta Imigresen 1959.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Bandar Baru Uda di sini, antara 4 November 2023 hingga 23 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Gred KP22 yang bertugas di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini turut mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan pilihan iaitu setuju menerima semua wang suapan itu di lokasi dan tarikh yang sama.

Perbuatan itu didakwa dibuat dengan tiada balasan daripada lelaki itu yang tertuduh tahu ia ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai Imigresen.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin terdahulu menawarkan jaminan antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi semua pertuduhan itu dengan dua syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan anak guamnya itu sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan.

“Tertuduh sudah berkhidmat selama 18 tahun dan hari ini dia akan dijamin oleh ibu kandungnya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 10 November ini.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here