KUANTAN – Projek Paip Agihan dari Kemaman ke Gebeng melibatkan pakej 1 dan 2 kini telah siap 99.7 peratus dan dalam proses pengujian serta pentauliahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek bernilai RM115 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang November nanti.
Menurutnya, projek tersebut menyediakan bekalan air yang stabil dengan kapasiti simpanan air mencukupi bagi memenuhi keperluan komersial dan domestik di kawasan penempatan yang tinggi menjelang tahun 2025, terutama di kawasan perindustrian Gebeng dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).
“Dengan siapnya projek yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ini, insya-Allah bekalan air di kawasan perindustrian Gebeng dan penduduk sekitarnya tidak akan terjejas di masa akan datang.
“Malah, dengan peningkatan infrastruktur ini, projek-projek pelaburan baharu akan dapat diteruskan seperti pembangunan MCKIP 3 yang kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada Julai 2025,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri Pahang hari ini.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pahang komited untuk melaksanakan pelbagai lagi projek-projek bekalan air di seluruh negeri bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air dengan baik dan sejahtera di masa akan datang. – MalaysiaGazette