Wartawan muda Israel yang terkorban, Hassan Hamad dalam serangan udara Israel. Ihsan Foto: Middle East Eye

GAZA – Seorang wartawan muda Palestin, Hassan Hamad terbunuh dalam satu serangan udara Israel ke atas rumahnya di kem pelarian Jabalia, dekat utara Gaza.

Pembunuhan itu terjadi selepas mangsa mendedahkan amaran yang diterima daripada pegawai Israel supaya berhenti merakam visual kemusnahan yang berlaku di wilayah tersebut.

Kematian Hassan yang baru sahaja berusia 19 tahun itu menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak perang bermula 7 Oktober lalu meningkat kepada 175 orang, menurut pejabat media Kerajaan Gaza.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) melaporkan, sekurang-kurangnya 128 wartawan dan pekerja media adalah antara lebih 41,000 orang yang terbunuh sejak Israel memulakan serangan hebat ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Hassan sebelum ini banyak menyumbang hasil berita keganasan di Gaza untuk siaran di Al Jazeera dan beberapa rangkaian berita lain.

Rakan-rakan serta pihak media kerajaan mengesahkan kematian Hassan, menyatakan  rumah wartawan itu disasarkan secara sengaja bagi memastikan dia tidak lagi bersuara selepas menerima ancaman.

Hassan telah berjihad melalui cara tersendiri dengan menjauhkan diri daripada keluarganya demi melindungi mereka.

“Dia telah berusaha mencari isyarat internet, berada di atas bumbung selama satu atau dua jam hanya untuk menghantar video kepada anda (pembaca) dalam beberapa saat,” tulis seorang rakan sekerjanya di akaun X Hamad.

“Pada jam 6 pagi (waktu tempatan), dia (Hassan) menghubungi saya untuk menghantar video terakhirnya.

“Selepas panggilan singkat itu, Hassan berkata, ‘mereka (tentera Israel) sudah di sini, sudah selesai’ sebelum menamatkan panggilan,” tambah rakannya.

Hassan sebelum ini telah mendokumentasikan konflik Israel di Gaza lebih setahun dan bekerja sebagai wartawan TV bebas.

Wartawan Palestin, Maha Hussaini berkata, Hassan telah menerima ancaman daripada seorang pegawai Israel melalui WhatsApp dan panggilan telefon yang memintanya berhenti merakam visual di Gaza beberapa hari sebelum kematiannya.

“‘Dengar sini, jika kamu terus menyebarkan fitnah tentang Israel, kami akan datang kepada kamu, dan keluarga kamu akan menjadi mangsa seterusnya… Ini adalah amaran terakhir’,” tulis Maha Hussaini di X, berkongsi mesej yang diterima oleh Hassan. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast