UTeM menjadi johan bagi kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) dan memenangi tempat ketiga kategori Anugerah Kurikulum Program Pengajian Inovatif di AKRI 2024.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul sebagai johan bagi kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) di Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam majlis tersebut yang diadakan bertempat di Kampus Induk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama UTeM turut telah berjaya memenangi tempat ketiga bagi kategori Anugerah Kurikulum Program Pengajian Inovatif.

AKRI merupakan program khas bertujuan mengenal pasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek-projek serta inisiatif dalam mengintegrasikan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Ia telah disertai oleh seluruh institusi pengajian tinggi awan dan institusi pengajian tinggi swasta seluruh negara.

UTeM mucul johan menerusi projek inovasi Connecting the Dots-Meaningful Immersive Structural Health Monitoring experiences via integration of Design Thinking and Augmented Reality through Problem-Based Learning.

Projek yang diketuai oleh Dr. Zakiah Abd. Halim Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal ini telah berjaya membawa pulang sebuah piala bersama dengan hadiah wang tunai RM10,000.

Tempat ketiga pula memenangi piala dan wang tunai RM3,000 menjadi milik projek inovasi Program Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data) dengan Kepujian yang diketuai oleh Ts. Dr. Norashikin Ahmad dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Mengulas kemenangan ini, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan ini tentunya merancakkan lagi budaya inovasi berangkai buat UTeM dalam konteks kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berdaya inovatif lagi.

“Ia menjadi katalis dalam usaha penyemarakan budaya kepelbagaian pedagogi yang merangkumi strategi dan kaedah pengajaran komprehensif yang memenuhi keperluan semasa industri.

“Inovasi ini turut memenuhi keperluan pembelajaran pelajar yang berbeza dalam aspek latar belakang, gaya pembelajaran, tingkat pemahaman dan minat dalam kalangan pelajar,” ujarnya dalam kenyataan yang diberikan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here