Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mengangkat sumpah sebagai ahli Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat pimpinan parti itu, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor dilantik sebagai ahli Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Ramli itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas wakil rakyat kepada masyarakat orang asli itu mengangkat sumpah di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Tahniah diucapkan kepada Datuk Dr. Ramli Mohd Nor merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang mengangkat sumpah atas pelantikan sebagai Ahli MKT UMNO Malaysia pada malam ini,” katanya menerusi hantaran terbaru di akaun Facebook miliknya, malam tadi.

Menurut Asyraf, Ramli merupakan orang asli pertama dalam sejarah yang dilantik menjadi ahli MKT UMNO.

“Ia membuktikan komitmen UMNO untuk menghargai dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang termasuk orang asli.

“UMNO akan terus komited untuk memperjuangkan suara dan hak masyarakat orang asli dan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama memacu kegemilangan negara dalam landskap politik negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here