Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

PENDANG – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui dalam sebuah kotak di sebuah premis usang di Kampung Rambai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Roslan Mat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bayi tersebut pada jam 8.08 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi penemuan, pihak polis mendapati bayi itu dibalut dengan kain pelikat dan ditempatkan dalam kotak di hadapan premis tidak berpenghuni.

“Hasil siasatan mendapati bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai dilahirkan kurang dari 12 jam sebelum penemuan.

“Penemuan bayi tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut dan bayi itu dihantar ke Hospital Pendang bagi menerima rawatan sebelum disahkan berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Roslan, pihaknya percaya bayi tersebut ditinggalkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi balai polis terdekat atau pengawai penyiasat, Inspektor Mohd Affendi Mohd Yunus di talian 04 759 6222 bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette