Ting Han (kanan) melihat skrin semasa perasmian program Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, hari ini. 

JOHOR BAHRU – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan yang tidak patuh titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya menyediakan waktu solat Jumaat mencukupi bagi pekerja beragama Islam apabila pertukaran cuti hujung minggu berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, pihaknya sedang berbincang dalam sesi libat urus secara terperinci bersama-sama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pemain industri agar titah itu dilaksana dengan efektif.

“Bentuk tindakan yang dikenakan terhadap majikan akan ditetapkan selepas perbincangan tersebut selesai dibuat, dalam masa terdekat.

“Seperti yang telah dititah, kami akan adakan sesi libat urus lebih mendalam dengan JTK serta pemain industri dan pihak majikan dalam waktu terdekat.

“Semua pekerja Muslim perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam khususnya waktu solat Jumaat. Oleh itu, pihak industri dan majikan yang tidak beri ruang secukupnya, dijangka akan ada tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Katanya, pertukaran kembali cuti hujung minggu Johor dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad itu disambut baik bukan sahaja oleh golongan pekerja, golongan ibu bapa tetapi juga sektor swasta dan perbankan di negeri ini.

Menurutnya, pertukaran cuti hujung minggu itu juga dijangka dapat meningkatkan produktiviti Johor secara keseluruhan apabila waktu bekerja selari bagi pentadbiran kerajaan dan juga sektor ekonomi serta perbankan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sektor runcit juga akan terima impak positif apabila ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak pada hari cuti Sabtu dan Ahad.

“Kebanyakan pekerja di Johor ni adalah dari sektor swasta, ada hampir dua juta pekerja di sektor swasta maka kita jangka impak pertukaran cuti hujung minggu ini akan memberi satu impak yang sangat positif kepada sektor swasta dan kerajaan secara umumnya,”katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan.

Titah baginda, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.

Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast