Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung terhadap bekas peguam, N Pathmanabhan dan pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 33, atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di sebuah ladang di Banting, Selangor pada 2010 di Istana Kehakiman, Mahkamah Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 8 OKTOBER 2024.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap tiga individu yang didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada 14 tahun lepas.

Turut dibunuh ialah tiga lagi rakan Sosilawati.

Tiga panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Maimun Tuan Mat bersama-sama Datuk Nordin Nassan dan Datuk Abu Bakar Jais menolak sebulat suara terhadap rayuan bekas peguam, N Pathmanabhan dan pekerja ladang, T Thilaiyalagan sebentar tadi.

Kedua-dua mereka disabitkan dengan kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman mati ke atas pembunuhan itu di mana mayat mangsa dibakar di hartanah milik Pathmanabhan di Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Perayu pernah membuat rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman mati telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2017.

Untuk makluman, sepatutnya pagi ini, seorang lagi tertuduh dalam rayuan itu, R Kathavarayan pada saat akhir prosiding menarik rayuan semakan semula hukuman gantung sampai mati.

Kata Tun Maimun, mahkamah menolak permohonan semakan semula hukuman gantung ini kerana perbuatan perayu-perayu ini yang membunuh dengan cara paling kejam.

”Modus operandi pembunuhan berkaitan sabitan pemohon, kita tidak sedia untuk semak.

“Mengikut fakta-fakta kes, kita menggunakan budi bicara menolak permohonan semakan hukuman gantung sampai mati, hukuman mati kekal,” katanya hari ini.

Pada 25 Mei 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Akthar Tahir menjatuhkan hukuman mati terhadap keempat-empat tertuduh.

Mereka didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47, dan tiga yang lain iaitu pegawai bank Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin, 44.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Perbicaraan berlangsung selama 110 hari dengan memanggil 108 saksi pendakwaan dan 30 saksi pembelaan untuk memberi keterangan.

Sebanyak 742 barangan kes termasuk lebih 6,000 dokumen dikemukakan di mahkamah sepanjang prosiding berlangsung bermula 4 Julai 2011.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan namun membebaskan Matan atas alasan mendapati tiada bukti yang boleh mensabitkannya pada 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana Mahkamah masih lg mengekalkan hukuman gantung sampai mati keatas pembunuhan jutawan kosmetik bersama 3 yg lain.Memag patut pelaku2 pembunuhan ini digantung sampai mati diatas perbuatan yg sungguh kejam itu.Tiada alasan yg boleh diterima untuk memaafkan mereka terlepas daripada tali gantung.Sudah lah dibunuh malah dibakar,sudah jelas mereka yg melakukan pembunuhan ini memang tiada perikemanusiaan.Sungguh kejammm….

  2. Memang patut hukum GANTUNG SAMPAI MATI pun sebab masa melakukan jenayah….mereka tak boleh nak berfikir…
    Yang penting dapat apa yg di inginkan…
    Kalau terlepas dah pasti mereka2 ini akan mengulangi perbuatan tersebut….
    Ini ketegasan Undang2 di Malaysia…
    Tak perlu ada belas kasihan dalam kes BUNUH sebab ada diantara pesalah yg lain tidak takut melakukan PEMBUNUHAN!!!

Comments are closed.