PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memberi kerjasama sepenuhya dalam membantu siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke atas beberapa orang pegawai imigresen yang disyaki terlibat dalam sindiket visa perubatan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pegawai EAIC telah hadir ke Ibu Pejabat JIM untuk menjalankan siasatan berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawainya.
“Pihak Jabatan Imigresen menyerahkan kepada pihak EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
“Dalam hal integriti, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Zakaria, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, tanpa mengira pangkat atau jawatan pegawainya yang terlibat salah laku dan melanggar integriti semasa dalam perkhidmatan.
Tambah beliau, JIM memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti selaras dengan fokus utama Jabatan iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi Jabatan agar kembali dihormati dan disegani.
“Pada masa yang sama, orang awam dialu-alukan untuk melaporkan salah laku Pegawai Imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette