Timbalan perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat reruai selepas Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Rakan NADMA “Malaysia Madani, Siaga Bencana” di DoubleTree by Hilton Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 8 OKTOBER 2024.

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sedang mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam mendepani banjir di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berlaku lebih awal pada minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal, minggu pertama November.

“MTL lazimnya akan sampai awal minggu pertama November, tetapi disebabkan perubahan cuaca, mengikut ramalan ada kemungkinan MTL akan bermula lebih awal iaitu pada minggu keempat Oktober ini.

“Maka, kesiapsiagaan harus dilakukan antaranya Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mengenal pasti kawasan yang berisiko terutama di kawasan banjir termenung. Ini banyak berlaku di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor.

“Kesiapsiagaan ini, kita mobilisasikan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri-negeri. Kita tidak menolak takdir Allah SWT tetapi kita berusaha untuk kurangkan risiko (terutama bencana banjir),” katanya.

Timbalan perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Rakan NADMA “Malaysia Madani, Siaga Bencana” di DoubleTree Hilton Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 8 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Rejuvensasi Rakan NADMA 2020 semasa Konvensyen Rakan NADMA 2024 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat  memaklumkan, daripada sudut mobilisasi, setakat ini jumlah petugas membabitkan agensi penguatkuasaan adalah mencukupi dan akan digerakkan ke seluruh negara.

“Kita tak mengira negeri atau di lokasi mana tetapi mobilisasi ini dilakukan secara berstruktur, selain turut mendapat bantuan agensi bukan kerajaan (NGO).

“Ini yang sedang kita lakukan dan diharap mangsa jangan hanya harap agensi bantuan ini datang tetapi mereka sendiri perlu tampil untuk bantu diri mereka sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, orang awam juga dinasihatkan perlu bersiap siaga dari sekarang dalam usaha mengurangkan risiko bencana yang lebih besar.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan mengeluarkan amaran awal lima hari sebelum berlaku taburan hujan melampau atau air pasang besar dan kita maklumkan ini melalui jawantakuasa peringkat negeri dan daerah.

“Kita turut berharap nasihat untuk berpindah (membabitkan mangsa banjir) harus diikuti sebaiknya untuk faedah mereka sekali gus dapat mengurangkan risiko bencana,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) METMalaysia, Ambun Dindang berkata, MTL dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025.

Katanya, diramalkan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu yang akan melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.  – MalaysiGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here