BATU PAHAT – Mayat seorang lelaki warganegara Indonesia yang hilang ketika bekerja di Jeti Parit Botak, Senggarang di sini kelmarin ditemui tengah malam tadi.
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan Dua, Mohd Khairul Azmi Ngatman berkata, mayat ditemui terdampar oleh orang awam pukul 12 tengah malam tadi.
“Mayat nelayan itu berada lebih kurang lima meter dari pantai dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sebelum ini operasi dijalankan selama dua hari dengan bantuan pelbagai agensi.
“Operasi melibatkan sembilan anggota bomba dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan ringkas. – MalaysiaGazette