Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang inividu bergelar Datuk antara dua orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa dan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 60-an itu dipercayai telah memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa tersebut.

Katanya, ia sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempat mereka bekerja yang dipercayai telah menyeleweng diesel bersubsidi.

“Kedua-dua suspek masing-masing memegang jawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

“Mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar dan bagi melindungi kegiatan itu mereka dipercayai telah memberi wang rasuah kepada beberapa orang penguat kuasa,” katanya.

Tambahnya, salah seorang suspek telah ditahan di pejabat SPRM Cawangan Sibu, manakala seorang lagi suspek ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah terbabit pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek tersebut.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek telahpun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here