Aniza (tengah) antara panel yang menyampaikan Pocket Talk berhubung inisiatif MBSA menuju bandar mampan di Malaysia Urban Forum di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited untuk terus memacu pertumbuhan Shah Alam sebagai sebuah bandar raya moden dan berdaya saing.

Timbalan Setiausaha Pembangunan merangkap Pengarah Perancangan MBSA, TPr Aniza Osman berkata, beberapa projek pembangunan akan dimulakan tahun depan bagi meningkatkan lagi keunikan bandaraya itu.

Katanya, projek-projek tersebut akan menjadi tarikan baharu kepada penduduk setempat dan pengunjung dengan ciri-ciri landskap menarik serta kemudahan awam yang mesra pengguna.

“MBSA akan menyambut Hari Bandar Raya yang ke-24 dalam masa dua hari lagi, meskipun usia itu dianggap muda namun boleh dikatakan cukup matang kerana kita telah bersedia melaksanakan projek-projek wow factor yang telah mendapat kelulusan.

“Salah satu projek utama yang akan diperkenalkan ialah Linear Park sepanjang satu kilometer yang terletak di tepi Lebuh Raya Persekutuan.

MBSA komited untuk terus memacu pertumbuhan Shah Alam sebagai sebuah bandaraya moden dan berdaya saing.

“Malah, dalam keadaan ramai orang mengalami tekanan emosi ketika ini, kita juga bawakan konsep laman terapi iaitu Laman Syifa sebagai salah satu tarikan baharu.

“Selain itu, projek Transit-Oriented Development (TOD) juga bakal dilaksanakan berikutan operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada tahun hadapan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Pocket Talk MBSA, Malaysia Urban Forum di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Tambah beliau, MBSA juga telah memperkenalkan Taman Kucing iaitu sebuah taman khas yang membolehkan pemilik haiwan ini membawa peliharaan mereka bermain di persekitaran yang selesa.

Mengulas lanjut Aniza berkata, MBSA juga merancang untuk mewujudkan beberapa titik tumpuan di pusat bandar yang akan memudahkan pergerakan orang ramai serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan aktiviti berjalan kaki.

“Projek-projek ini adalah sebahagian daripada rancangan revitalisasi mega yang dirancang menjelang 2025 bertujuan untuk menjadikan Shah Alam sebuah bandar yang lebih vibrant dan berdaya maju.

“Kita percaya pelaksanaan projek ini mampu menarik perhatian bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pengunjung dari luar kawasan, sekali gus meningkatkan imej Shah Alam sebagai sebuah bandaraya moden dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here