KUANTAN – Seorang wanita didakwa yang menghidap penyakit mental dilaporkan terjatuh dari tingkat enam salah sebuah flat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pak Mahat, Tanjung Lumpur, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dan mengalami kecederaan di bahagian kepala serta badan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati saksi melihat mangsa berusia 27 tahun kelihatan gelisah dan keluar masuk sebelum insiden itu.
Menurutnya, semasa kejadian teman lelaki mangsa bersama anak saudara mangsa berada di dalam rumah mangsa.
”Saksi melihat wanita itu telah berada di atas awning tingkat enam. Saksi cuba menarik mangsa namun mangsa bertindak terjun ke bawah,” katanya ketika dihubungi hari ini sambil menambah pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 5.30 petang.
Sementara itu, kakak mangsa memaklumkan mangsa mempunyai rekod sakit mental dan pernah beberapa kali cuba untuk terjun dari tempat tinggi namun sempat diselamatkan.
Katanya, mangsa masih mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
”Saksi telah mengenali mangsa sejak 16 tahun dan sejak lapan tahun lalu mangsa mengalami kemurungan sehingga mendapatkan rawatan di Psikiatri HTAA,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HTAA dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. – MalaysiaGazette