APM Pulau Pinang telah melakukan persediaan menghadapi banjir susulan peralihan Monsun Timur Laut dijangka bermula bulan depan.

BUTTERWORTH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mengenal pasti sebanyak 124 hotspot banjir di seluruh negeri ini bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November hingga Mac depan.

Penolong Pengarah Sektor Operasi APM Pulau Pinang, Mejar( PA) Kamal Jakarinah berkata, kriteria yang dikenal pasti lokasi bencana adalah berdasarkan trend yang berlaku sebelum ini serta kawasan tanah rendah.

“Mengikut pecahan Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 44 lokasi diikuti Seberang Perai Utara (37) manakala masing-masing 15 lokasi bagi daerah Seberang Perai Selatan dan Barat Daya serta Timur Laut (13).

Kamal.

“Seramai 81 pegawai dan 429 anggota telah bersiap siaga serta diberikan latihan operasi bantuan banjir untuk menghadapi MTL.

“Selain itu, dari segi aset darat dan air juga kita telah lakukan persiapan,” katanya kepada pemberita di Pejabat APM SPU di Bagan Jermal di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, APM telah meningkatkan usaha untuk memastikan kesiapsiagaan komuniti melalui program Kampung Siap Siaga 221 yang bertujuan melatih penduduk di kawasan berisiko banjir.

“Setakat ini, seramai 570 orang penduduk dari tujuh buah kampung berisiko banjir telah dilatih untuk menghadapi bencana.

“Hasil latihan itu terbukti apabila penduduk yang dilatih menunjukkan kesiapsiagaan yang baik memudahkan pihak berkuasa menguruskan proses pemindahan semasa banjir baru-baru ini.

“Kita akan teruskan program latihan komuniti itu dengan matlamat melatih lebih banyak penduduk kampung yang berisiko bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here