Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Bulan Oktober KKDW di Wisma FELCRA Berhad di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengesa agensi yang berpayung di bawahnya menghapuskan budaya silo dan bersinergi dalam memacu ekosistem pembangunan luar bandar yang lebih holistik.

Silo ialah sistem yang memisahkan jenis pekerja yang berbeza lazimnya mengikut jabatan tempat mereka bekerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi mendepani cabaran akibat kekangan sumber dan kemajuan teknologi melalui Collaborative Framework atau Rangka Kerja Kolaboratif yang menumpukan kepada
perkongsian sumber, pengetahuan dan kepakaran untuk mencapai hasil optimum.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, dalam konteks pembangunan desa contohnya, setiap agensi di bawah KKDW mempunyai peranan yang unik tetapi saling melengkapi antara satu sama lain.

“FELCRA Berhad (FELCRA) berperanan dalam pembangunan tanah dan pertanian luar bandar, Majlis Amanah Rakyat melahirkan usahawan dan melaksanakan agenda pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli  dalam memperkasakan masyarakat Orang Asli dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah dalam membangunkan pekebun kecil.

“Sebagai contoh, FELCRA yang telah berkerjasama dengan JAKOA bagi membangunkan 52 buah projek rancangan orang asli (ROA), dengan keluasan hampir 6,800 hektar yang memberi manafaat kepada hampir 2,100 peserta orang asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulan Oktober KKDW di Wisma FELCRA Berhad di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Idris Lasim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, penggunaan Dashboard Komuniti Desa juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan akses kepada maklumat pertanian, pendidikan, latihan keusahawanan dan bantuan dapat dipercepatkan dan diperkasakan.

Kata beliau, ia juga dapat membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan supaya lebih efisien dalam mengurus tadbir kampung.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menyarankan jalinan kerjasama dengan pihak swasta melalui cadangan awal seperti bootcamp literasi digital intensif melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat.

Menurut beliau, kerjasama dengan syarikat pelancongan untuk mempromosi pelancongan desa yang menonjolkan tradisi tempatan, kraf tangan dan eko-pelancongan serta memasarkan homestay atau rumah-rumah kampung yang sedia ada untuk menarik lebih ramai pengunjung ke perkampungan desa.

“Dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu ini, setiap agensi di bawah KKDW juga perlu mengorak langkah ke arah kemandirian dengan menjana pendapatan sendiri supaya tidak bergantung kepada peruntukan kerajaan,” katanya,

Sementara itu, perhimpunan bulanan itu juga menyaksikan 20 pegawai KKDW termasuk Muhd. Khair Razman menerima Watikah dan Pemakaian pangkat Pegawai Kehormat dan Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Selain itu, turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Pekerja Madani kepada sembilan kakitangan KKDW yang terpilih bagi menghargai sumbangan dan pencapaian mereka. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here