MELAKA – Seorang pesara tentera menemui ajal di hadapan sebuah klinik swasta di Taman Paya Rumput Utama, Cheng di sini dipercayai untuk mendapatkan rawatan akibat serangan jantung.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, mangsa Mohd Hisyam Omar, 50, meninggal dunia dalam keadaan enjin kereta sudah dimatikan dan kunci berada di tangannya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian seorang lelaki didapati tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Perodua Viva di hadapan klinik berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, si mati berada di bahagian kerusi pemandu dalam keadaan tersandar dengan kepalanya mendongak.
“Semasa ditemui, enjin kereta sudah dimatikan dan kunci kereta berada di tangannya. Tiada sebarang unsur jenayah dan barang barang peribadinya juga dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan di sini petang ini.
Tambahnya, hasil temu bual dengan anak lelaki simati memaklumkan bapanya ada menghubunginya memaklumkan berasa hendak pitam ketika berada di Lebuh SPA berhampiran Taman Desa Bertam di sini, kira-kira jam 10 pagi.
Menurut Christopher, anak lelakinya kemudian cuba menghubungi telefon bimbit bapanya namun tiada jawapan sehingga pukul 6 petang sebelum hadir ke Balai Polis Sungai Udang.
“Simati tidak pernah mempunyai sejarah sakit sebelum ini dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat jantung tersumbat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette