PUTRAJAYA – Bidang kuasa tiga badan yang mengawal selia industri padi dan beras negara iaitu Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) akan diasingkan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah di bawah transformasi sektor pertanian itu akan dilaksanakan segera bagi memantapkan tata kelola sektor padi dan beras di negara ini.
Jelas beliau, usaha itu juga bertujuan mengatasi isu ketiadaan beras putih di pasaran tempatan, sekali gus menjamin kebajikan 230,000 pesawah di negara ini.
“Padi merupakan komoditi strategik negara yang memainkan peranan penting dan memberi kelangsungan hidup kepada lebih satu juta isi rumah.
“Buat masa ini pengeluaran beras tempatan hanya mampu membekalkan keperluan untuk 21 juta pengguna di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Wisma Tani di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, pihaknya juga akan memperkenalkan ‘Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import’ dengan pekelilingnya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Selain itu, kata beliau, satu jawatankuasa khas juga akan diwujudkan bagi meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) yang diketuai Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
“Jawatankuasa ini penting bagi merancang dan mencukupkan bekalan daging seperti yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” katanya. – MalaysiaGazette