Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

AMPANG – Gara-gara tidak puas hati ditegur kerana muntah dan kotorkan kereta yang dinaikinya, dua penumpang warga asing bertindak agresif menumbuk dan mencederakan seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Kampung Cheras Baru di sini, Ahad lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek termasuk seorang wanita diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata,
polis menerima laporan polis daripada pemandu e-hailing mengenai insiden yang menimpa dirinya.

“Siasatan awal polis mendapati, pada jam 12.40 tengah malam 6 Oktober lalu, pengadu telah mengambil penumpang seorang lelaki dan wanita asing di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang dipesan melalui aplikasi khidmat e-hailing dan menghantar mereka ke sebuah kondominium di Kampung Cheras Baru.

“Semasa dalam perjalanan itu, penumpang lelaki dikatakan telah termuntah di dalam kereta sebelum pengadu menegur perbuatan penumpang (suspek) tersebut.

“Setiba di tempat yang dituju kedua-dua penumpang yang tidak puas hati ditegur telah menolak pengadu berusia 50 tahun itu sehingga terjatuh dan menumbuk di bahagian mulut mangsa sehingga luka di bahagian siku tangan kiri dan lebam bahagian tapak tangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam menambah, kedua-dua penumpang terbabit juga disyaki merosakkan cermin sisi sebelah kiri dan menendang pintu belakang kanan kenderaan pengadu sebelum beredar dari tempat kejadian.

Katanya, bertindak atas aduan mangsa,  sepasukan anggota dari IPD Ampang Jaya berjaya menjejaki dan menahan dua suspek tersebut.

Kedua-dua suspek berusia 30 hingga 40an itu ditahan di sebuah kondominium di Cheras Baru untuk membantu siasatan dan polis sedang membuat semakan status dokumen perjalanan mereka.

Mereka kini direman selama empat hari bermula Selasa hingga 1 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kerosakan kepada harta benda yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here