Pelaksanaan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen menggunakan kod QR di pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Iskandar Puteri. - Foto Jabatan Imigresen Johor

JOHOR BAHRU – Tempoh fasa pengujian daya maju (POC) keberkesanan pemeriksaan Imigresen menggunakan kod QR di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dilanjutkan sehingga November ini.

Jati Jana (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memberitahu, lanjutan tempoh pengujian itu bertujuan membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Imigresen (JIM), melihat secara lebih mendalam keberkesanan sistem berkenaan dalam mempercepatkan proses pelepasan imigresen di pintu sempadan Malaysia-Singapura.

Menurut kenyataan itu, pada masa ini, pengembara menggunakan aplikasi kod QR MyRENTAS di BSI, Johor Bahru dan aplikasi MyTRIP di KSAB, Gelang Patah.

“Sepanjang pelaksanaan pengujian di BSI, myRENTAS telah merekodkan hampir dua juta transaksi pergerakan dan berjaya mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas pada waktu puncak dari 120 minit kepada 15 minit.

“Statistik itu dinyatakan dalam dokumen Jawapan Lisan Dewan Negara yang dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen, Julai lalu,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Jati Jana (M) Sdn Bhd, Azril Rizal Abdullah berkata, aplikasi myRENTAS bersedia untuk diguna pakai di laluan kereta.

Beliau berkata, penggunaannya boleh diperluas untuk pengembara warga Singapura selain kebolehupayaan untuk berintegrasi dengan sistem dari negara-negara jiran.

“Kita juga akan memastikan pengguna MyRENTAS mendapat manfaat terbaik dan menjadikan MyRENTAS sebagai pilihan berdasarkan tahap kelancarannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sistem MyRENTAS menggunakan teknologi kod QR dengan ciri-ciri keselamatan seperti pengecaman wajah, pengesanan bagi memastikan individu yang mengakses sistem bukan gambar, video atau objek tiruan dan kod QR dinamik untuk memastikan identiti pengguna yang layak sahaja dapat menggunakan kemudahan berkenaan.

Kod QR yang dijana oleh sistem MyRENTAS juga mematuhi piawaian ISO/IEC 18004 yang merupakan piawaian antarabangsa untuk format kod QR.

Azril Rizal berkata, myRENTAS juga berjaya memendekkan masa pelepasan dari 30-45 saat kepada kurang dari lima saat untuk seorang pengguna.

“Berdasarkan data statistik yang diperoleh, purata penggunaan MyRENTAS adalah 1:29, iaitu nisbah seorang pengguna menggunakan MyRENTAS sebanyak 29 kali sejak sistem ini diperkenalkan,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Jabatan Imigresen Malaysia melancarkan MyRENTAS iaitu sistem kod QR rentas sempadan ke Singapura, sebuah inisiatif proaktif jabatan itu bagi menangani masalah kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura terutama di BSI.

Sistem yang diberi lanjutan tempoh percubaan tiga bulan bermula September lalu itu, adalah antara inisiatif transformasi digital Jabatan Imigresen Malaysia bagi memudahkan rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari, sebahagian besarnya untuk bekerja.

Buat masa ini, myRENTAS hanya boleh digunakan oleh pengguna bas warganegara Malaysia di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar. Aplikasi MyRENTAS boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Android Play Store.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here