LONDON – Pihak pengurusan tertinggi Manchester United telah mengakhiri pertemuan mereka tanpa membahas mengenai pemecatan pengurus, Erik Ten Hag, lapor Sky Sports.
Dalam laporan tersebut mendedahkan pada pertemuan ini masa depan Erik ten Hag tidak dibincangkan namun hanya berkaitan isu operasi kelab.
“Setakat ini posisi Ten Hag sebagai pengurus Manchester United masih lagi selamat meskipun prestasi kelab ketika ini mengalami fasa yang negatif,” kata laporan itu.
Semalam, United telah mengadakan mesyuarat yang melibatkan sejumlah pegawai tertinggi kelab seperti Sir Jim Ratcliffe, Sir Dave Brailsford,Joel Glazer, Omar Berrada dan Dan Ashworth di London untuk membincangkan tentang perkembangan bola sepak kelab.
Walaupun pertemuan ini telah lama dijadualkan, situasi semasa United menjadikan pertemuan itu lebih penting dan penentu untuk masa depan kelab, serta nasib Ten Hag sebagai pengurus.
Prestasi United awal musim ini dalam pelbagai pertandingan menunjukkan aliran menurun yang ketara di mana lima perlawanan terakhir tanpa kemenangan dalam semua pertandingan adalah rekod terburuk mereka dalam tempoh lima tahun.
Dalam Liga Perdana Inggeris, mereka hanya menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan terakhir dan kini terkandas di kedudukan ke-14 liga.
United juga bergelut di Liga Europa dan berada di kedudukan ke-21 dengan mencatat tanpa kemenangan. – Agensi