Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan insentif kepada pasukan para olahraga Perak pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 OKTOBER 2024.

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya isu berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan ajaran sesat di negeri ini ditangani sehingga ke akar umbi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu ditekankan ketika beliau menghadap baginda pada Isnin lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu beliau telah mempersembahkan kepada Sultan Nazrin laporan penuh yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berhubung isu GISBH serta perkara berkaitan ajaran sesat di negeri ini.

“Semalam (Isnin) saya mempersembahkan kepada Tuanku laporan yang disediakan JAIPk.

“Ia bukan sahaja berkaitan GISBH tetapi berkaitan dengan beberapa lagi yang ditemui JAIPk iaitu unsur-unsur bagi ajaran sesat. Jadi, Tuanku akan memanggil Mufti (Jabatan Mufti) dan JAIPk bagi mengambil tindakan berikutnya.

“Ini sebab kita ada Jawatankuasa Fatwa Negeri yang akan bersidang (membincangkan perkara tersebut),” katanya.

Sultan Nazrin mahu isu GISBH dan ajaran sesat ditangani hingga ke akar umbi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA ke-21 Sarawak 2024 di Hotel Kinta Riverfront, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Mazlan Mohamad.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, Sultan Perak memberi pandangan yang sama berhubung isu tersebut kerana ia berkaitan dengan akidah.

“Sebahagian besar daripada mereka yang mengikuti ajaran sesat tersebut adalah di luar sedar. Justeru, kita juga akan mengambil tindakan untuk memulihkan akidah mereka,” ujarnya.

Isnin lalu, Saarani menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan laporan lengkap yang disediakan JAIPk berhubung isu GISBH.

Sebelum ini, Saarani memaklumkan isu tersebut secara dasarnya di bawah kendalian Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Nazrin. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here