Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Penamatan subsidi telur ayam gred A, B dan C jika dilaksana nanti akan memberi pelbagai kesan teruk kepada golongan B40.

Presiden Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman berkata, pelbagai perkara yang perlu diambil kira sebelum pelaksanaan penamatan subsidi telur.

Mohd Ridhwan Othman

“Masalah beras masih belum selesai, timbul perancangan baharu, selepas ini, subsidi apa lagi yang mahu dihapuskan, jika tidak sasaran seterusnya minyak paket bersubsidi.

“Kerajaan perlu fokus kepada pendapatan boleh belanja bersih individu dan bukan isi rumah.

“Saya pasti sekiranya harga telur semakin meningkat, mungkin pelajar yang biasa mengisi perut dengan menjadikan telur sebagai lauk harian mungkin tidak dapat menikmatinya lagi.

“Malah harga barangan yang dihasilkan berasakan telur ayam seperti roti canai dan kuih-muih juga berpotensi untuk meningkat sekiranya subsidi telur ayam sudah tiada,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, kekurangan bekalan telur masih belum pulih di Johor.

Beliau berkata, bekalan telur di pasar raya adalah amat berkurangan namun di peniaga di luar premis termasuk di tepi jalan tiada masalah tentang bekalan.

“Kita di pasar raya menjual telur dengan harga kawalan, oleh itu pembekal juga tidak boleh menghantar bekalan melebihi harga kawalan,” ujarnya.

Katanya, pembekal lebih gemar menjual kepada peniaga luar dengan harga lebih tinggi.

“Bagus sekiranya menamatkan subsidi harga telur kerana seperti kami menjual dengan harga kawalan namun stok tiada mengakibatkan pelanggan merungut.

“Yang penting pelanggan datang mahu membeli barang, namun barangan tiada, oleh itu mereka terpaksa pergi ke tempat lain untuk membeli barangan itu.

“Kita tempah 100 papan tapi yang sampai 200 papan saja, kadang-kala pemborong hantar dua kali atau tiga kali dalam seminggu namun bilangannya amat sedikit,” katanya.

Pengasas Yayasan Kebajikan Suria Kawasan Permas Johor Bahru, James Ho pula berkata, sekirannya langkah itu dilaksanakan akan memberi kesan terhadap aktiviti kebajikannnya.

Jelas beliau, ini kerana telur menjadi antara barangan keperluan dapur  yang disumbangkan pihaknya kepada golongan kurang berkemampuan menerusi bank makanan sekitar bandar raya ini.

Pihaknya menyumbangkan 80 hingga 100 papan telur kepada golongan itu yang masih dalam keperitan menghadapi krisis kenaikan harga barang.

“Kami mengagihkan bekalan telur yang diterima daripada penderma dan buat masa kini bilangan penderma juga berkurangan 50 peratus sejak kos sara hidup yang meningkat secara mendadak.

“Cadangan penamatan subsidi telur ayam bukan suatu berita baik untuk kami, mungkin bekalan diderma orang ramai juga semakin berkurangan,” katanya.

Beliau mendakwa, penamatan subsidi telur itu menafikan hak golongan B40 untuk mendapatkan keperluan asas tersebut pada harga yang sewajarnya.

Hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan penjimatan RM100 juta bakal dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain, yang lebih mendesak sekiranya penamatan subsidi telur ayam gred A, B dan C dilaksanakan.

Cadangan penamatan subsidi telur ayam dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Cadangan ini  dikemukakan untuk pertimbangan.

Menurut Mohamad, langkah kerajaan menamatkan subsidi ayam pada 1 November tahun lalu menunjukkan kejayaan apabila harga dan bekalan ayam di pasaran terus stabil sehingga ke hari ini.

Pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM927 juta bagi subsidi telur ayam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. HAPUS SAJA SUBSIDI TELUR,MINYAK MASAK PAKET,PETROL DAN DIESEL SEPENUHNYA..AKU LEBIH BAWAH DARI B40,AKU SOKONG HAPUS SUBSIDI,LEBIH BANYAK SALAH GUNA DARI KEBAIKAN,SUBSIDI ADALAH BARAH NEGARA.
    UNTUK B40,KERAJAAN ADA CARA UNTUK SAMPAIKAN BELANJA/BANTUAN AGAR TAK TERTINGGAL.
    NEGARA TAK AKAN MAJU DGN SUBSIDI..

  2. “Kita tempah 100 papan tapi yang sampai 200 papan saja, kadang-kala pemborong hantar dua kali atau tiga kali dalam seminggu namun bilangannya amat sedikit,” katanya. Order dapat 2 kali ganda apa masalahnya? Bukan panjang sangat artikel pun tu pun typo terbalik.

Comments are closed.