Pengarah JSJ Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan barang rampasan pada sidang media atas kejayaan tangkapan dan rampasan penyeludupan dadah di Sri Satria, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 9 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah berjumlah lebih 744 killogram (kg) bernilai RM24.58 juta yang menjadikan Malaysia sebagai transit untuk pasaran dalam dan luar negara.

Lima warga Thailand antara 11 suspek berusia lingkungan antara 22 hingga 48 tahun berjaya ditahan membabitkan tiga sindiket pengedaran dadah tersebut menerusi tiga operasi serbuan yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 5 dan 7 Oktober lalu sekitar ibu negara, Lembah Klang dan Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam kes pertama di ibu negara sekitar pukul 10.30 malam di sebuah rumah di Manjalara Kepong, tiga warga Thailand terdiri daripada seorang suspek lelaki berperanan sebagai penjaga setor dan dua wanita berusia 22 hingga 24 tahun.

Pemeriksaan lanjut di ruang tamu tingkat bawah rumah itu menjumpai 125 tong putih berlabel pengemulsi kek berisipadu 21 kg setiap satu yang kesemuanya disorok dengan 250 bungkusan syabu seberat 256 kg dan dikedapkan.

“Nilai rampasan yang dilakukan adalah dianggarkan bernilai RM8.18 juta dan siasatan polis mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan luar negara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki dan menangkap saki baki suspek sindiket ini yang disyaki masih bebas di luar untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengarah JSJ Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan barang rampasan pada sidang media atas kejayaan tangkapan dan rampasan penyeludupan dadah di Sri Satria, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 9 OKTOBER 2024.

Tambah Kok Chin, dalam operasi kedua, pasukannya juga bertindak atas maklumat risikan telah menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong di sini sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun disyaki ahli sindiket yang sedang memunggah guni putih dari bonet kereta Perodua Ativa ke dalam premis.

Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan dan premis membawa pasukan serbuan kepada penemuan 350 paket tertulis Epal Merah disyaki syabu 358 kilogram dianggarkan bernilai RM11.4 juta.

“Siasatan mendapati suspek tempatan itu berperanan sebagai penjaga setor sindiket itu dan menyewa Ativa dan premis berkenaan untuk menyimpan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran dalam negara sekitar Lembah Klang.

“Kita mendapati setiap bungkusan seberat satu kilogram itu dijual dengan harga RM32 sekilogram di pasaran dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket ini yang dipercayai masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan,” ujarnya.

Tegas beliau, dalam operasi terakhir yang diadakan di Johor dan ibu negara pukul 11.15 pagi, pasukannya melaksanakan serbuan di lima lokasi dan membawa kepada tangkapan tujuh suspek sindiket pengedaran dadah pelbagai seberat lebih 269 kg dianggarkan bernilai RM5 juta.

Jelas Kok Chin, dalam serbuan pertama dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter ditahan di tempat letak kereta sebuah residensi mewah di ibu kota sebelum merampas syabu seberat 71.26 kg yang ditemui dalam Proton X50 Ketika sedang memunggah barang terlarang itu dari Proton Waja.

“Kemudian pasukan telah melancarkan serbuan kedua di parkir residensi sama sebelum memberkas seorang lagi ahli sindiket lelaki tempatan berperanan sebagai runner dan berpandukan arah suspek ketiga itu polis menyerbu tempat letak kereta Kiara East di ibu negara dan merampas syabu seberat 41 kg dan 19.49 kg ketamin dalam kereta Toyota Prado.

“Kemudian pasukan JSJN menyerbu sebuah rumah di Kampung Muar, Johor pukul 1.43 petang dan menangkap seorang lelaki tempatan bersama kekasih warga Thailand berusia 46 dan 42 tahun dan merampas 138 gram heroin, 30 biji pil erimin 5 dan empat biji ekstasi.

“Seterusnya serbuan kelima dilakukan di sebuah kondominium di Muar yang membawa kepada suspek ke enam dan ketujuh terdiri daripada lelaki tempatan dan kekasih warga Thailand dan merampas 19.19 gram syabu serta 30 biji erimin 5,” katanya.

Siasatan lanjut polis mendapati sindiket berkenaan menggunakan kondominium mewah dan kenderaan pemilik yang telah meninggal dunia yang tidak ditukar hak milik sebagai setor dadah untuk pengedaran kepada pembelinya dengan menjual setiap bungkusan dadah seberat satu kg pada harga RM50,000 untuk pasaran pembeli.

“Lebih mengejutkan lagi, sindiket sama menggunakan tokong Cina untuk melindungi aktiviti pengedaran dadah mereka daripada dihidu dan dijejaki polis serta awam manakala semakan mendapati lima daripada tujuh suspek sindiket ini memiliki sebanyak 84 rekod dadah dan jenayah lampau.

“Kita juga merampas pelbagai aset milik sindiket ketiga ini bernilai RM339,485 antaranya tiga kenderaan jenis Honda dan Volkswagen Golf, wang tunai RM61,000 barang kemas dan jam tangan jenama Rolex Oyster di bawah Akta Dadah Pelucuthakan Harta 1988.

“Secara kesimpulannya, kesemua tiga sindiket yang dilumpuhkan dalam tiga operasi berlainan yang dijalankan selama dua hari di ibu negara dan Johor didapati bergiat aktif sejak awal 2024,” katanya.

Kesemua suspek 11 suspek membabitkan tiga sindiket dadah itu kini direman bermula antara tiga hingga tujuh hari dari tarikh tangkapan dibuat pada 5 dan 7 Oktober lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B dan 29A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here