Terbit ketumbuhan baru atau tahi lalat baru pada kulit selepas berumur 20 ke atas, seharusnya berjumpa pakar kulit untuk pemeriksaan.

KUALA LUMPUR – Trend memiliki kulit tanned (digelapkan) semakin popular namun para pakar kesihatan memberi amaran bahawa pendedahan berlebihan kepada sinaran UV meningkatkan risiko kanser kulit.

Di sebalik keinginan untuk mencapai kulit sawo matang, ramai tidak sedar bahawa tindakan itu boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius termasuk kanser kulit jika langkah perlindungan tidak diambil.

Menurut pakar dermatologi, Dr. Nazirin Ariffin, hasil kajian oleh American Academy of Dermatology menunjukkan individu yang terdedah secara berlebihan kepada sinaran ultraviolet (UV) mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk menghidap melanoma iaitu sejenis kanser kulit yang paling agresif.

Kata beliau, fenomena ketagihan terhadap proses tanning ini dikenali sebagai tanorexia di mana seseorang menjadi terlalu obses untuk mengekalkan kulit tanned sehingga mereka mengabaikan risiko kesihatan.

“Ramai tidak menyedari tabiat berjemur yang berlebihan tanpa perlindungan boleh menyebabkan kerosakan kulit yang kekal dan lebih menakutkan lagi meningkatkan risiko kanser kulit dalam jangka panjang

“Sinaran UV terutamanya sinar UVA dan UVB mampu menembusi jauh ke dalam lapisan kulit dan menyebabkan kerosakan pada sel asid deoksiribonukleik (DNA) sel-sel kulit.

“Kerosakan ini boleh mencetuskan mutasi yang akhirnya mengakibatkan kanser kulit. Walaupun risiko ini lebih besar dalam kalangan mereka yang berkulit cerah dan sering berjemur atau menggunakan katil penyamakan, sesiapa sahaja yang terdedah kepada sinaran UV tanpa perlindungan masih berisiko mengalami kesan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pakar dermatologi, Dr. Nazirin Ariffin.

Nazirin menambah,  melanoma bukan satu-satunya bentuk kanser kulit yang boleh berlaku akibat pendedahan UV kerana sinaran itu juga boleh menyebabkan dua jenis kanser kulit lain yang lebih kerap iaitu karsinoma sel basal dan karsinoma sel skuamosa.

“Walaupun melanoma lebih membawa prognosis yang lebih buruk dan membawa maut, semua jenis kanser kulit memberi kesan yang serius terhadap kesihatan kulit dalam jangka panjang.

“Jika seseorang mendapati tahi lalat bertambah besar, bertukar warna, pigmentasi pada tahi lalat berubah menjadi comot, margin tidak teratur pada tahi lalat , atau pun terbit ketumbuhan baru atau tahi lalat baru pada kulit sesudah berumur 20 ke atas, seharusnya berjumpa pakar kulit untuk pemeriksaan,” katanya yang juga pengasas Klinik Kulit Nazirin.

Nazirin turut menegaskan,  perlindungan dari sinaran matahari hari ini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

Ini kerana penggunaan pelindung matahari yang mengandungi SPF 30 atau lebih tinggi disarankan oleh pakar dermatologi.

“Pelindung matahari bertindak sebagai perisai pertama terhadap sinaran UV yang merbahaya. Jika anda berpeluh atau berenang, pelindung matahari hendaklah disapu semula setiap dua jam.

“Selain penggunaan pelindung matahari, orang ramai disaran memakai pakaian pelindung, topi bertepi lebar, dan kaca mata hitam ketika berada di bawah matahari untuk jangka masa yang panjang.

“Perlindungan tambahan ini akan membantu dalam mengurangkan risiko kerosakan kulit apatah lagi di Malaysia, cuaca panas dan terik sepanjang tahun menyebabkan ramai orang terdedah kepada sinaran matahari hampir setiap hari.

“Oleh itu, langkah-langkah perlindungan perlu diambil serius untuk melindungi kesihatan kulit di mana keinginan untuk mendapatkan kulit tanned tidak sepatutnya menyebabkan seseorang mengabaikan kesihatan kulit mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here