Kereta dipandu seorang eksekutif bank remuk dan rosak teruk selepas terlanggar seekor gajah di Jalan Felda Kahang Barat, Kluang, semalam

KLUANG – Seorang eksekutif bank berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terlanggar seekor gajah di Jalan Felda Kahang Barat, dekat sini, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 11.06 malam tadi.

“Kejadian berlaku pukul 7.15 petang semasa wanita berkenaan, Haslinda Hasbullah, 39, dalam perjalanan dari Kahang ke Taman Seri Impian melalui Jalan Kahang Barat.

“Lokasi kemalangan merupakan jalan berbukit dan gelap tanpa lampu jalan. Semasa menuruni bukit tiba-tiba sekumpulan gajah berada di tengah jalan.

“Oleh kerana jarak yang terlalu dekat dan gelap dia telah terlanggar salah seekor gajah di bahagian kaki sebelah kiri gajah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut wanita berkenaan sakit di bahagian dada manakala kumpulan gajah itu telah beredar dari kawasan tersebut.

Menurut beliau, mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

Selain itu kata Bahrin, kereta jenis Honda Civic 1.5 TC dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk bahagian bonet hadapan dan bahagian bumbung serta bahagian kiri dan kanan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast